Tumpuan :
Jenayah

PDRM tumpas pelbagai jenayah melalui KDNKA dengan rampasan hampir RM1 billion

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menumpaskan pelbagai kes jenayah termasuk penyeludupan haiwan membabitkan rampasan keseluruhan hampir RM1 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejayaan dilakar susulan operasi berterusan dijalankan pasukan di bawah KDNKA sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, Cawangan Perisikan Siasatan Khas (WCB) menerusi Op Bersepadu Khazanah, Op Tiris, Op Kontraban dan Op E-Waste menyelesaikan 136 kes membabitkan penahanan 387 orang, serta rampasan lebih RM434 juta.

“Cawangan ini bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta United Nation Development Programmed (UNDP) bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan.

“Ia bagi membanteras jenayah hidupan liar dan pemuliharaan spesies haiwan ikonik khususnya Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia, Banteng di Sabah serta Orang Utan di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan anjuran KDNKA di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah KDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memberi impak positif menerusi pelbagai tangkapan dan rampasan dengan jumlah keberhasilan lebih RM279 juta.

Beliau berkata, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pula merekodkan pelbagai rampasan berjumlah RM37.1 juta dan tangkapan melalui 34 serbuan sepanjang tahun ini, manakala Pasukan Polis Marin (PPM) menghasilkan RM210 juta menerusi 7,103 kes jenayah di perairan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang dibangunkan untuk mengukur kesejahteraan rakyat dari perspektif ekonomi dan sosial mencatatkan peningkatan 0.7 peratus daripada 120.4 mata pada 2022 kepada 121.3 mata pada tahun lalu.

Sementara salah satu komponen dalam subkomposit sosial iaitu Indeks Keselamatan Awam didapati merosot 127.6 mata (2023) berbanding 129.3 mata (2022).

“Penurunan terbabit disebabkan peningkatan bilangan kemalangan jalan raya dan kenaikan kadar jenayah,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Razarudin menyampaikan sijil penghargaan kepada 73 pegawai dan anggota yang berjaya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta cemerlang.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 51 anggota PDRM yang dianugerahkan Sijil Tolak Rasuah PDRM dan SPRM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini