Tumpuan :
Jenayah

PDRM, SKMM gempur sindiket guna peranti BTS sebar SMS palsu

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan sindiket menyebarkan mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan teknologi Base Transceiver Station (BTS) palsu, hasil tangkapan empat lelaki di sekitar Lembah Klang pada 19 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata keempat-empat suspek lelaki berusia 39 hingga 46 tahun itu ditahan menerusi Op Khas yang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Beliau berkata kesemua suspek yang diberkas berperanan sebagai penyelia, pembantu penyelia, pemandu dan operator untuk peranti BTS palsu.

“Tugas mereka adalah membawa kenderaan utiliti sukan (SUV) bersama peranti BTS palsu ke lokasi tumpuan orang ramai yang kemudiannya secara automatik menyebarkan SMS palsu kepada nombor telefon individu di kawasan sekitar.

“SMS yang dihantar akan kelihatan seperti SMS tulen yang datangnya daripada sebuah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang sah sehingga mengelirukan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di Menara KPJ di sini.

Sidang media itu turut dihadiri, Timbalan Pengarah Pengurusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.

Beliau berkata tangkapan itu dilakukan pihaknya susulan laporan daripada seorang lelaki berusia 30 tahun yang menerima SMS daripada sebuah syarikat telekomunikasi terkenal mendakwa dia mempunyai mata terkumpul bagi menebus barang.

Katanya, selepas mengisi maklumat melalui pautan yang diberikan sindiket serta OTP, mangsa mendapati wang RM1,500 di dalam akaun bank miliknya hilang.

“Siasatan mendapati sindiket ini mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya 12 kes lain membabitkan nilai kerugian RM116,271 setakat ini.

“Dengan penahanan ini, kami percaya dapat menyelamatkan kira-kira 32,000 pengguna harian telekomunikasi seluruh negara daripada ancaman penyebaran SMS palsu yang berpotensi mengakibatkan kerugian wang ringgit,” jelasnya.

Siasatan terhadap empat lelaki terbabit diteruskan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Sementara itu Zulkarnain menegaskan, SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk tidak memasukkan sebarang pautan dalam SMS berkuat kuasa pada 3 Mei lalu.

“Tiada lagi pautan dalam SMS dibenarkan berkuat kuasa 3 Mei lalu. Bagi meningkatkan kesedaran, SKMM akan terus memperbanyakkan lagi program kesedaran melalui pesanan khidmat masyarakat di media sosial serta platform media cetak dan elektronik.

“Ramai pengguna tidak sedar sekiranya dapat SMS yang ada pautan (link), itu adalah palsu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini