Tumpuan :
Jenayah

PDRM masih buru 2 suspek kes bunuh polis Thailand, disyaki lari ke Malaysia

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR: Polis masih mengesan dua suspek lelaki kes pembunuhan seorang pegawai kanan polis Thailand yang dipercayai melarikan diri ke sempadan negara baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada perkembangan terbaharu berhubung usaha mengesan suspek setakat ini.

“Setakat ini masih negatif,” katanya ringkas kepada Harian Metro ketika diminta mengulas berkenaan perkembangan kes berkenaan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, PDRM dalam keadaan waspada berikutan dua suspek kes bunuh seorang pegawai polis berkemungkinan melarikan diri ke negara ini.

Suspek dikenali sebagai Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, masing-masing berasal dari daerah Chanae dan Rueso di Thailand.

Razarudin dilaporkan berkata, dua suspek berkenaan berkemungkinan melarikan diri ke Malaysia untuk bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Januari lalu membabitkan suspek yang dikatakan mempunyai 14 waran tangkap pelbagai kesalahan berkaitan isu keselamatan.

Dalam kejadian itu, mangsa, Leftenan Kolonel Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Senior Sarjan Mejar, Dome Chuaythewarit, 35, maut dalam satu serangan hendap di Narathiwat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini