Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pasar Raya KK Mart di Kuantan dilontar ‘molotov cocktail’

 

KUANTAN: Sebuah lagi kedai serbaneka KK Mart yang baru beroperasi dua minggu lalu di daerah ini, dilontar dengan ‘molotov cocktail’ pada jam 5.14 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lontaran bom itu menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit.

Katanya, berdasarkan siasatan, ketika kejadian, dua kakitangan, masing-masing seorang lelaki dan wanita berada di dalam kedai pada jam 5.14 pagi.

“Dalam keadaan panik, kakitangan itu terus mengambil alat pemadam api dan memadamkannya daripada terus merebak.

“Berikutan kejadian itu, empat rak jualan dalam premis termasuk beberapa barang jualan mengalami sedikit kerosakan akibat terkena percikan api.

“Tiada kemalangan jiwa berlaku dan kejadian itu menyebabkan kedai serbaneka ini mengalami kerugian dianggarkan RM500 akibat perbuatan khianat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati kedai serbaneka itu baru beroperasi selama dua minggu dan pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di premis bersebelahan, bagi mengenal pasti atau mendapatkan maklumat tambahan berkaitan suspek.

Pihak forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang turut dipanggil bagi membantu siasatan di lokasi kejadian untuk mendapatkan bukti dalam melengkapkan siasatan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada isu penjualan stoking tertera kalimah Allah hingga suspek melakukan perbuatan khianat terbabit.

“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba Indera Mahkota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 5.40 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, kebakaran itu sudah dipadamkan dan anggaran peraturan kebakaran satu peratus kerana tidak membabitkan struktur bangunan dan mangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini