ARAU: Suami isteri disyaki terbabit mendera wanita mualaf warga emas sehingga maut di kediaman di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, di sini didakwa tidak mesra dan jarang bergaul dengan jirannya.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata suami isteri yang masing-masing berusia 34 tahun itu bukanlah orang tempatan di kawasan itu namun sudah menyewa kediaman berkenaan sejak setahun lalu.
“Saya difahamkan si suami berasal dari Johor dan isterinya pula berasal dari Terengganu dan mereka mempunyai tiga anak masih kecil selain seorang wanita warga emas dalam jagaan mereka yang saya rasakan berusia sekitar 70an,” katanya.
Beliau mendakwa tidak tahu apa pekerjaan sebenar menantu mangsa.
Tambahnya apa yang diketahui beliau dan penduduk di situ ialah menantu mangsa dikatakan sedang menyambung pelajaran dalam bidang falsafah di sebuah universiti tempatan di sini dan isterinya pula suri rumah sahaja.
Menurutnya, kedua-dua mereka juga jarang bergaul atau bercampur dengan masyarakat di situ dan lebih senang dengan hal mereka sendiri.
Tambahnya, dia terkejut apabila kira-kira 10 pagi tadi didatangi anggota polis yang bertanyakan mengenai kejadian menimpa jirannya itu.
“Tidaklah pula kami dengar atau nampak ada berlaku pergelutan atau sebarang kejadian mencurigakan dalam rumah itu.
Tapi kami tahu suami isteri ini menjaga orang tua. Malah, jikalau cuti juga, suami isteri ini senang berkurung dalam rumah mereka,” katanya.
Tinjauan di taman perumahan berkenaan mendapati rumah suspek terkunci selain terdapat kereta di halaman rumah teres satu tingkat itu.
Namun lilitan garisan polis masih lagi diletakkan di belakang rumah untuk menghalang orang ramai daripada menceroboh rumah mangsa.