comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan suami isteri curi gelang emas dicekup

SEREMBAN: Pasangan suami isteri berpura-pura mahu membeli barang kemas di sebuah kedai emas di Senawang, di sini, sebelum melarikan gelang dianggarkan bernilai RM5,000, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek kemudiannya dikatakan memajak barang kemas berkenaan di sebuah kedai di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, sebelum ditahan jam 10.50 malam tadi di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban menerima makluman satu kes kecurian barang kemas seberat 15.33 gram di lokasi kejadian, jam 4.40 petang.

Foto ihsan PDRM

“Hasil siasatan mendapati suspek seorang lelaki yang dipercayai memakai pelitup muka berpura-pura mahu membeli gelang emas yang berharga RM5,000 sebelum dikatakan melarikan diri bersama barang kemas berkenaan.

“Difahamkan, suspek menaiki kereta bersama seorang wanita yang menunggu di dalam kenderaan di luar premis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban menahan pasangan itu kira-kira jam 10.50 malam tadi.

“Hasil risikan dan maklumat awam, suami isteri masing-masing berusia 46 serta 35 tahun itu ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban arah selatan Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), di sini.

“Kami turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, seutas gelang emas yang sudah dipajak di ibu negara dengan harga RM3,600 dan wang tunai berjumlah RM3,600,” katanya.

Arifai berkata, hasil ujian awal air kencing juga mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methaphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua suspek dibenarkan reman selama empat hari bagi membantu siasatan. Hasil semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai 14 rekod jenayah membabitkan dadah serta jenayah,” katanya.

Loading...
Terkini