comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan pempengaruh disyaki seleweng derma RM3 juta sejak 2020

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam sejak 2020.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah mengutip derma kira-kira RM3 juta.

“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.

“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal,” katanya.

Terdahulu, pasangan tersebut antara empat individu direman selama empat hari termasuk dua lagi suspek kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga Ahad ini terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pagi tadi.

Kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan kira-kira antara jam 6.30 petang hingga 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini