JITRA: Sepasang kekasih warga tempatan ditahan polis ketika cuba membawa lapan warga asing secara haram dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza berhampiran Kilometer 5.2 Lebuhraya Utara-Selatan Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.
Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori berusia 20-an dan teman wanitanya yang juga berusia 20-an itu dikatakan sanggup bertindak demikian untuk mendapatkan upah lumayan dengan membawa kesemua warga asing disyaki warga Myanmar itu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian disedari sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam ketika sedang melakukan tugas pencegahan penyeludupan (Ops Pintas) pada jam 5.20 pagi tadi.
Beliau berkata, mereka terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza warna coklat yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Berikutan itu, pasukan polis terbabit mengekori kenderaan itu sebelum bertindak menahannya di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan Perodua Alza kemudian menemui seorang lelaki warga tempatan iaitu pemandu kereta terbabit dan seorang wanita yang juga warga tempatan di sebelah kiri pemandu.
“Pemeriksaan lanjut menemui penumpang di bahagian belakang seramai empat lelaki dan empat wanita yang disyaki warganegara Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Redzuan berkata, kesemua warga asing yang diperiksa itu didapati tiada sebarang dokumen pergenalan diri yang sah dan dipercayai dari Myanmar, manakala pasangan kekasih itu disyaki bertindak sebagai tekong darat.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua tekong terbabit ditawarkan upah dari seorang lelaki Myanmar lain dengan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap warganegara asing yang dibawa untuk dihantar dari sempadan Bukit Kayu Hitam ke Sungai Petani.
“Kesemua warga asing ditahan berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Mohd Redzuan berkata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah boleh di penjara tidak lebih lima tahun, boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali atau tidak lebih dari enam sebatan.
“Pihak polis sentiasa peka dan aktif khususnya dalam usaha membanteras jenayah membabitkan aktiviti pemerdagangan manusia terutama di sempadan Malaysia-Thailand.
“Masyarakat diminta untuk turut bersama memberi maklumat supaya aktiviti ini dapat dibanteras dengan menyalurkan melalui talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat serta boleh menggunakan applikasi VSP yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.