comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan kekasih ditahan, disyaki buang bayi di kedai ayam 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KEMAMAN: Polis berjaya menyelesaikan kes buang bayi lelaki yang ditemukan di sebuah kedai memproses ayam segar di Bandar Chukai, Kemaman, Terengganu Sabtu lalu dengan tertangkapnya dua suspek dipercayai pasangan kekasih.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika ditemui mengesahkan tangkapan kedua-dua suspek terbabit.

Tangkapan pertama, seorang wanita berusia 21 tahun di sebuah rumah kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat hasil pemeriksaan dari rumah ke rumah yang dilakukan polis dalam jarak radius satu kilometer daripada lokasi penemuan bayi terbabit di Kampung Jabur Kubur.

Ketika melakukan pemeriksaan, pihak polis menemui seorang wanita dalam keadaan mencurigakan sebelum pihaknya melakukan siasatan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan pada telefon bimbit wanita itu, pihaknya menemui gambar seorang bayi yang mirip dengan bayi yang dibuang di kedai tersebut.

“Dalam semakan pada telefon bimbit suspek, kita mendapati ada gambar bayi lelaki, mirip atau pun serupa seperti bayi yang ditinggalkan di kedai menjual ayam tersebut.

“Jadi daripada situ kita membuat pertanyaan, akhirnya suspek mengaku bahawa bayi yang dibuang itu adalah bayinya”, katanya.

Hasil siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai melahirkan bayi itu pada 12 Mei lalu di rumah kekasihnya sebelum bayinya itu dibuang seminggu kemudian.

Berikutan itu, polis kemudian berjaya menahan suspek lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sebagai seorang pembantu kedai menjual barangan runcit di Kampung Dusun Nyior, kira-kira jam 3.00 petang.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Sabtu lalu, seorang pemandu lori terdengar seperti bunyi anak kucing ketika menghantar bekalan ayam mentah di sebuah premis tersebut , kira-kira jam 7.30 pagi.

Sebaik membuat pemeriksaan, pemandu lori terbabit sangat terkejut selepas mendapati bunyi itu sebenarnya seorang bayi lelaki tanpa pakaian dan menggigil kesejukan.

Dalam perkembangan lain, Hanyan turut ditanya sama ada suspek turut terlibat dengan kes buang bayi di lokasi sama pada Julai tahun lalu.

Jelasnya, siasatan akan turut dilakukan dan perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bayi dan wanita itu akan dilakukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini