comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pasangan kekasih dan rakan edar dadah ditahan

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Pasangan kekasih dan rakan mereka yang dipercayai melakukan aktiviti pengedaran dadah di Pulau Pinang sejak pertengahan tahun lepas ditahan dalam siri serbuan di bahagian pulau dan Seberang Perai, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, polis merampas dadah jenis ganja dan heroin bernilai RM36,162.40 dalam serbuan berkenaan.

 

Katanya, suspek pertama iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor pada jam 12.50 tengahari, 29 Disember.

“Semasa pihak polis ingin menjalankan pemeriksaan terhadap suspek, dia enggan memberi kerjasama dan telah bertindak melarikan diri dengan memecut motokar dinaikinya.

“Bagaimanapun, dalam cubaan melarikan diri suspek telah terlanggar sebuah lori dalam jarak berdekatan dan pihak polis dapat memberkas suspek di lokasi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, petang tadi.

Polis telah merampas serbuk dan ketulan dadah disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1.4 kilogram bernilai RM21,912.40 dalam serbuan itu.

Susulan itu, seorang rakan lelakinya, 44, ditahan di Jalan Perusahaan Perai pada jam 7.15 petang hari yang sama.

Manakala, teman wanita suspek pertama berusia 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Tanjung Bungah pada jam 1 pagi, 30 Disember dan polis merampas 6 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 5.7 kilogram bernilai RM14,250.

Secara keseluruhan, dadah dirampas dianggarkan bernilai RM36,162.40 dan dipercayai digunakan untuk edaran pasaran tempatan, khususnya di bahagian pulau.

Dua suspek lelaki didapati positif dadah dalam ujian air kencing serta mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 5 Januari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini