comscore
Tumpuan :
Jenayah

Panik! Penyeludup minyak masak pecut Myvi masuk sekolah sebelum larikan diri

Perodua Myvi tinggalkan penyeludup dalam kawasan sebuah sekolah di Salor dipenuhi minyak masak dipercayai untuk diseludup. Foto Ihsan KPDN

KOTA BHARU: Panik dikejar pihak berkuasa, seorang lelaki dipercayai penyeludup memecut Perodua Myvi masuk ke kawasan sekolah sebelum meninggalkan kenderaan itu dan memanjat pagar untuk melarikan diri.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Azman Ismail berkata, terdahulu kereta itu dikesan di Jalan Air Duri, di sini, sebelum pihaknya mula mengekori.

“Selepas dua kilometer diekori, pemandunya menyedari kehadiran kenderaan pihak berkuasa dan terus memecut secara berbahaya sebelum memasuki kawasan sebuah sekolah rendah di Salor.

“Kereta itu kemudiannya berhenti di padang bola sekolah sebelum pemandunya keluar dari kenderaan dan melarikan diri dengan memanjat pagar sekolah ke kawasan semak berhampiran,” katanya dalam kenyataan media.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 850 kilogram (kg) minyak masak dalam kenderaan ditinggalkan itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Azman berkata, pihaknya percaya semua stok minyak masak dianggar bernilai RM2,125 yang ditemukan dalam kereta ditinggalkan itu untuk dihantar ke pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat sebelum diseludup ke negara jiran.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini