![](https://media.buletintv3.my/2023/09/MOZEK-PEREMPUAN-AND-MOTOR.jpeg)
BUTTERWORTH: Seorang remaja perempuan yang mengambil kesempatan keluar makan bersama rakan dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang didakwa milik teman lelakinya membawa padah apabila dia ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak mempunyai lesen.
Remaja perempuan itu ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di sini dalam Ops Khas Motosikal JPJ yang bermula jam 1 pagi tadi.
Remaja berusia 19 tahun itu turut dikenakan empat notis membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan, insurans selain ubah suai ekstrem pada motosikal.
Ketika ditanya, remaja yang bekerja sebagai jurujual itu berkata, dia menunggang motosikal berkenaan tanpa pengetahuan teman lelakinya.
“Teman lelaki saya menghadiri acara permotoran di Terengganu dan saya pula ambil kesempatan untuk keluar makan bersama kawan tetapi lain pula jadinya,” katanya yang menetap di Sungai Petani, Kedah.
Selain dikenakan notis saman, motosikal itu turut disita oleh JPJ untuk tindakan selanjutnya.
Dalam operasi sama, JPJ juga menyita dua motosikal ditunggangi dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun kerana tidak mempunyai lesen.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata, operasi dijalankan susulan menerima banyak aduan berhubung aktiviti ‘merempit’ di kawasan itu, selain memantau pematuhan terhadap undang-undang jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.
“Kita dapat banyak aduan dan melalui risikan dijalankan, kawasan ini memang tempat tumpuan mat rempit yang masa sama mereka melakukan pelbagai kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan dengan mengubahsuai motosikal secara ekstrem.
“Selain itu, mereka juga menunggang secara melulu tanpa menghiraukan keselamatan sendiri dan orang lain,” katanya.
Dalam operasi itu, JPJ menyita sebanyak 16 motosikal dan mengeluarkan 450 notis atas pelbagai kesalahan.