Tumpuan :
Jenayah

Padah cabul atlet, lelaki miliki dua rekod jenayah ditahan

SEREMBAN: Seorang lelaki tersilap memilih mangsa apabila mencabul seorang wanita yang juga atlet sebelum rakan-rakannya mengejar dan menahan suspek dalam kejadian di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban arah Selatan, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam tadi itu, suspek dikatakan lalu di belakang mangsa yang berusia 20-an sebelum dikatakan menyentuh punggung wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kira-kira jam 12.15 tengah malam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu.

“Kami mendapat laporan mengenai tangkapan seorang lelaki warga tempatan di kawasan RnR Seremban kerana disyaki melakukan kesalahan cabul ke atas seorang wanita warga tempatan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari IPD Nilai tiba dilokasi dan membuat tangkapan terhadap suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek menyentuh punggung mangsa sebelum beberapa rakan wanita itu ternampak perbuatan suspek lalu mengejarnya yang cuba melarikan diri dan berjaya ditahan.

Jelasnya, suspek yang ditangkap berusia lingkungan 20-an dan mempunyai dua rekod membabitkan kesalahan jenayah.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban dan dibenarkan reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula hari ini hingga 13 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-7904222,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini