Tumpuan :
Jenayah

Padah buat provokasi ketika mabuk, warga asing mati dikelar

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki warga asing yang dalam keadaan mabuk memprovokasi rakan senegaranya mencetuskan pergaduhan sehingga mangsa umur 27 tahun ditemui maut dalam kejadian di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata berdasarkan maklumat daripada orang awam, kejadian berlaku jam 11.15 malam di sebuah bilik sewa bangunan kedai di taman tersebut.

Ketika polis tiba, mangsa telah pun meninggal dunia.

“Siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada mangsa memprovokasi suspek dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan pergaduhan. Akibat pergaduhan ini mangsa telah meninggal dunia disyaki dikelar pada bahagian leher sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, bertindak atas maklumat pada 12.10 tengah malam tadi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Balai Polis Desa Cemerlang membuat dua tangkapan lelaki warga asing.

Katanya, suspek usia 39 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang.

Pihak polis merampas tiga bilah pisau boleh laras yang terdapat kesan darah dan satu minuman keras, selain menemukan 13 ‘swab’ kesan darah di tempat kejadian dan pada badan suspek.

Kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Loading...
Terkini