Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Situasi cemas dialami pengguna jalan raya apabila orang awam mengejar pemandu kereta membawa dadah sejauh tujuh Kilometer di laluan sibuk di Batu Ferringhi, petang semalam.
Bagaimanapun, suspek dapat ditangkap polis di tempat kejadian.
Insiden itu turut menyebabkan kemalangan kecil membabitkan beberapa kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata, kejadian berlaku pada jam 6.40 petang di Jalan Batu Ferringhi.
Katanya, orang awam mengesyaki seorang lelaki membawa dadah dalam kereta Myvi berwarna biru dan mengejarnya menaiki motosikal.
Selepas dikejar sejauh 7 kilometer, pemandu kereta tersekat selepas dipercayai melanggar kenderaan lain.
“Pihak polis telah berjaya menangkap suspek, seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun, di hadapan sebuah restoran di Jalan Batu Feringgi.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai bahan-bahan disyaki dadah jenis ganja dan syabu di dalam beg silang milik suspek.
“Semakan pihak polis juga mendapati suspek memiliki satu rekod tangkapan bersangkut kes jenayah lampau dan dua rekod tangkapan kes dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3), Seksyen 6, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 24 Julai untuk membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa