Oleh: Kumaran Rajamoney
TAIPING: Sebuah premis yang dipercayai melakukan penyelewengan barang kawalan di Kawasan Perindustrian Kamunting, di sini diserbu sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan kira-kira jam 3.00 petang itu dijalankan hasil maklumat risikan yang dilakukan selama satu minggu ke atas sebuah premis yang disyaki menyimpan gas petroleum cecair (LPG) secara haram.
“Premis ini disyaki telah beroperasi hampir dua bulan. Ketika pemeriksaan dilakukan telah ditemui sejumlah tong LPG pelbagai jenama dan seorang lelaki warga tempatan berumur 37 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan.”
“Siasatan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan gagal untuk mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan di premis tersebut apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” katanya.
Susulan itu, tindakan kes telah diambil dan menyita sebanyak 102 unit tong silinder gas petroleum cecair (LPG) di premis terbabit dengan nilai sitaan dianggarkan RM9,180.
Kes katanya akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.