Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Dua individu ditahan bersama 11,000 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan menerusi Ops Tiris hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, seorang warga tempatan berumur 35 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori dan seorang lagi individu bukan warganegara ditemui berada di dalam premis terbabit, dipercayai sedang melakukan aktiviti pemindahan bahan bakar berkenaan.
“KPDN berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nombor di kawasan perindustrian Nilai yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan diesel.
“Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya yang bermula kira-kira jam 4.00 pagi itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN selama dua minggu sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis turut menemukan sebuah lori, beberapa tangki kosong dan berisi diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan diesel.
Katanya, pihak premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 (Akta 122).
“Diesel, lori, telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM53,550.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah AKB 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran diesel tersebut termasuklah sumber diesel ini diperolehi dan diedarkan,” katanya.
Berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac sehingga semalam, sebanyak 1,954 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 47 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.07 juta.
Mengulas lanjut, Azman berkata, KPDN memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.
Beliau berkata, orang perseorangan yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan didenda tidak lebih RM1 juta, manakala kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan
Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan diesel.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi,” katanya.
KPDN akan mempergiatkan operasi ke atas pihak-pihak lain yang terlibat melalui proses pengauditan bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan itu bagi memastikan ketirisan dan penyelewengan ke atas barangan kawalan dan bersubsidi terutamanya diesel dapat dibanteras daripada terus berleluasa.