Tumpuan :
Jenayah

Ops Sky: Lebih ramai pegawai bank akan dipanggil SPRM untuk siasatan

Antara individu yang ditahan dalam Op Sky dibawa ke mahkamah, baru-baru ini. – Foto ihsan SPRM.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperluaskan siasatan terhadap kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan dan pegawai bank dari beberapa institusi kewangan melalui operasi khas, Ops Sky.

Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa antara 15 hingga 20 pegawai bank dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes ini.

Selain itu, SPRM turut menjalankan penjejakan aliran kewangan (money trail) ke atas akaun bank lain yang disyaki terlibat dalam pelanggaran undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Azam menegaskan bahawa siasatan ini adalah sebahagian daripada usaha intensif SPRM untuk memastikan pihak terbabit diheret ke muka pengadilan.

“SPRM juga tidak menolak berkemungkinan akan ada lagi perintah pembekuan dilakukan terhadap akaun-akaun bank itu,” katanya.

Mengenai tangkapan terbaharu empat pegawai bank menerusi Ops Sky, kelmarin, Azam berkata, SPRM akan mengekstrak data-data berkaitan permohonan pinjaman daripada sistem perbankan membabitkan empat pegawai bank terbabit bagi membantu siasatan.

Semalam, empat lagi pegawai bank ditahan SPRM dalam siasatan Ops Sky, membabitkan sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.

Penahanan terbaharu itu menjadikan 16 individu ditahan SPRM setakat ini, selepas serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi melalui Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini