Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Polis menahan 323 penagih termasuk empat wanita dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM100,000 dalam operasi memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah selama empat hari berakhir semalam di seluruh Pahang.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam operasi sama, selaras senapang patah serta tujuh peluru dirampas.
Menurutnya, rampas senjata api itu hasil serbuan di sebuah pondok dalam kebun getah di Kampung Bukit Mat Daling, Jerantut jam enam pagi kelmarin.
Katanya, hasil serbuan itu tiga penagih berusia antara 23 dan 37 tahun ditahan serta sejumlah dadah jenis methamphetamine, heroin dan ganja dirampas.
“Rampasan itu antara kejayaan polis hasil 193 serbuan dan 387 pemeriksaan dilakukan di lokasi tumpuan atau sarang penagihan dadah dan pusat hiburan.
“Semua individu ditahan berusia antara 16 dan 63 tahun termasuk 42 suspek disyaki terbabit dengan kegiatan membekal atau mengedar dadah serta 204 orang positif,”
“Dalam operasi sama juga lapan lelaki dalam senarai buruan polis turut ditahan.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Noor Hisam berkata, dalam operasi itu juga 12 lelaki warga Indonesia ditahan di sebuah pusat hiburan di Genting Highlands pada jam 12:30 pagi kelmarin serta polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, pil erimin, ketamine dan pil ecstasy.
Menurutnya,19 suspek termasuk 12 lelaki warga Indonesia dan seorang wanita ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, tiga lelaki ditahan bersama senapang patah disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.
Semua suspek direman hingga 17 Julai untuk membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa