Oleh Naim Fitri Abu Bakar
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan bersama 11 kru warga asing kerana tiada permit serta dokumen pengenalan diri dalam Op Tanjung, minggu lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 71 batu nautika barat Pulau Kendi kira-kira jam 4.17 petang pada Khamis lalu, manakala sebuah lagi bot nelayan asing ditahan di kedudukan 52 batu nautika kira-kira jam 12.10 tengahari pada Sabtu.
Katanya, pemeriksaan terhadap bot nelayan tempatan itu berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak dan dikendalikan lima kru warga Myanmar termasuk dua warga Thailand berumur lingkungan 19 hingga 52 tahun tiada dokumen pengenalan diri serta permit bekerja.
“Pemeriksaan terhadap bot nelayan asing mendapati bot berkenaan berpangkalan di Belawan, Indonesia dan dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Abd Razak berkata, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing, menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Dua bot dan semua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
“APMM menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada,” katanya.