comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op PEWA: 270 pendatang asing ditahan, 994 saman dikeluarkan 

KEMAMAN: Sebanyak  994 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Negeri Terengganu dalam 10 siri Ops Pemandu Warga Asing (Op PEWA) yang dijalankan di seluruh negeri itu bermula pada bulan Januari hingga Mei lalu.

Pengarahnya Mohd Zamri Samion berkata, kesemua saman terbabit melibatkan 270 tangkapan pendatang asing warga Myanmar, Rohingya, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Kemboja, India dan Thailand.

Selain itu pihaknya turut menyita 235 buah kenderaan termasuk kereta, lori dan motosikal yang ada dipercayai dibeli atau disewa daripada sindiket atau penduduk tempatan.

Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sudah tamat tempoh, tiada lesen memandu kompeten (CDL) tiada perlindungan insurans dan lain-lain kesalahan teknikal.

Menurut beliau, operasi tersebut dilakukan ekoran aduan daripada pelbagai pihak yang bimbang dengan peningkatan bilangan warga asing yang membawa kenderaan tanpa memiliki dokumen sah.

Jelasnya lagi, dengan kehadiran warga asing yang semakin berani memandu tanpa dokumen sah ianya boleh memberi kesan buruk serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Mereka ini kebanyakannya di bawah UNCHR, jadi sepatutnya tidak ada kapasiti untuk memiliki aset di dalam negara kita, jadi mereka membeli kebiasaannya penama itu masih lagi pemilik asal.

“Jadi isunya mereka dakwa bahawa mereka beli, tapi kenderaan masih milik penama asal dan bila kena sita nanti, penglibatan kesalahan itu di dalam mahkamah itu terpaksa dilibatkan juga pemilik asalnya itu”, katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ops tersebut di pejabat JPJ cawangan Kemaman hari ini.

Mohd Zamri berkata, operasi selama dua hari yang bermula semalam melibatkan 76 anggota penguatkuasa daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen di mana seramai 88 warga asing telah ditahan di sekitar daerah tersebut.

Tambah beliau , pada tahun 2023,  sebanyak 21 siri Ops Pewa yang melibatkan 738 saman dan 183 tangkapan dibuat di mana teknik penyamaran oleh anggota dilakukan dalam operasi tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini