comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Global: Siasatan diteruskan walau ada individu telah didakwa

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan lanjut berhubung Op Global di 20 rumah amal dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan masih diteruskan walaupun beberapa individu sudah dituduh di mahkamah, hari ini.

“Kita masih melengkapkan siasatan lain termasuk membabitkan beberapa video tular yang menunjukkan penderaan dialami kanak-kanak rumah amal berkenaan.

“Siasatan lanjut giat dijalankan pihak polis,” katanya yang dipetik Harian Metro ketika dihubungi media, hari ini.

Hari ini, seorang lelaki yang juga ahli kumpulan GISBH didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya, atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas ahli jemaah organisasi itu, awal bulan ini.

Bagaimanapun, Mohamad Riza Makar, 39, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.

Terdahulu, Tan Sri Razarudin dilaporkan berkata, sebanyak 33 kertas siasatan dibuka PDRM dengan tiga dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 740 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, mereka yang dirakam keterangan adalah 30 orang pengadu, saksi (216), mangsa (392) dan suspek (102).

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini