comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Global: Seramai 625 orang telah diselamatkan, 97 kertas siasatan dibuka – Polis 

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ditemui dalam sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Seramai 625 orang mangsa berjaya diselamatkan dalam Op Global yang dijalankan sejak 11 September lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, daripada jumlah itu seramai 553 orang mangsa telah ditempatkan di 13 pusat perlindungan dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sepanjang empat fasa Op Global dijalankan seramai 625 orang mangsa telah diselamatkan dalam lingkungan umur 2 bulan hingga 28 tahun.

“Seramai 553 orang mangsa ini ditempatkan di 13 pusat perlindungan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Manakala 72 orang mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga mereka,”jelasnya.

Tambah Mohd Shuhaily, sepanjang operasi itu juga seramai 415 individu telah ditahan, 58 daripadanya ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Jumlah ini termasuk 16 individu yang baharu ditangkap pada hari ini. Selain itu, 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 individu telah dijamin, 37 individu telah dibebaskan tanpa syarat.

“Manakala dua individu telah diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang individu telah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran,”katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 97 kertas siasatan telah dibuka sepanjang operasi itu dilancarkan.

“Sepanjang operasi ini dilaksanakan, PDRM telah membuka sejumlah 97 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk satu kertas siasatan jenayah terancang di bawah Seksyen 130v Kanun Keseksaan dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

“Daripada jumlah tersebut, 12 kertas siasatan melibatkan sembilan individu telah dituduh dengan 34 pertuduhan,” katanya lagi.

Kesemua pertuduhan itu melibatkan 20 pertuduhan bagi Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sembilan pertuduhan bagi Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Manakala tiga pertuduhan bagi Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, satu pertuduhan bagi Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, terdapat empat lagi kertas siasatan telah diberikah arahan oleh Jabatan Peguam Negara untuk dituduh dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini