PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan hasil siasatan polis mendapati beberapa modes operandi dikesan melibatkan mangsa kanak-kanak di premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat tempatan menjalankan pelbagai perniagaan di Malaysia dan beberapa negara lain.
Mengejutkan, selain diabai dan dianiaya, mangsa juga jelasnya turut didedahkan dengan perbuatan tidak senonoh sebelum diliwat.
“Melalui risikan, keterangan yang kita dapat mangsa diajar dan dididik cara-cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain, ini berdasarkan risikan dan percakapan yang kita telah rakam awalnya.
“Mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal,” jelasnya lagi.
Mangsa kanak kanak juga didakwa digunakan untuk menagih simpati atas sentimen agama bagi mendapatkan sumbangan daripada luar.
Selain itu, mangsa turut didakwa dihukum dengan menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai tanda hukuman atas kesilapan dilakukan.
“Ada kanak kanak lima tahun yang degil ada tiga empat orang dicederakan di lengannya dengan sudu yang panas apabila kesilapan dilakukan kanak kanak ini.
“Selain daripada itu, petugas petugas ini juga menyentuh tubuh badan mangsa seolah olah mengamalkan perubatan bagi yang sakit.
“Apa yang kita lihat kegiatan mendoktrin kanak kanak menggunakan agama ini adalah tidak baik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang siang tadi.
Terdahulu, seramai 402 orang kanak-kanak diselamatkan dalam serbuan di 20 premis pendidikan dan rumah amal di Negeri Sembilan dan Selangor.
Kesemua kanak-kanak itu melibatkan 201 lelaki dan 201 perempuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.