comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Global: Kanak-kanak tular dirotan dan didera berjaya diselamatkan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 4 mangsa kanak-kanak yang merupakan adik-beradik berumur 6 hingga 11 tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kanak-kanak yang telah terpisah dengan bapa mereka itu telah diselamatkan di Tapah, Perak dalam Op Global Fasa 4 yang bermula 21 September lalu.

“Salah seorang kanak-kanak tersebut merupakan individu tular yang dirotan oleh ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

“Dalam perkembangan lain, seorang kanak-kanak yang turut tular menjadi mangsa penderaan (dipijak) juga telah diselamatkan oleh pihak polis,” katanya dalam satu sidang media di PULAPOL di sini hari ini.

Katanya, kanak-kanak tersebut pada ketika ini berada dalam jagaan pihak hospital dan ditempatkan di wad pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelas beliau, kesemua suspek yang terlibat telah direman untuk siasatan.

Tambahnya, pemeriksaan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati mangsa yang diselamatkan mengalami kesan penganiayaan.

Terdahulu tular dua video yang memaparkan kanak-kanak dirotan dan didera dipercayai oleh ahli GISBH di media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini