comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Global: 3 premis GIBSH di luar negara dikesan henti operasi, tutup tingkap dan pintu guna plastik hitam

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga premis syarikat GISB Holdings (GISBH) di luar negara dikesan telah menghentikan operasi sejak Op Global dilancarkan terhadap syarikat itu awal September lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, maklumat itu diterima daripada rakan serantau (pihak berkuasa di negara berkenaan) baru-baru ini.

“Kita telah mendapat maklumat balas rakan sekerja (luar negara) mengesahkan ada tiga premis di negara tersebut, mereka telah sahkan telah berhenti beroperasi.

“Papan tanda telah dibawa turun, tingkap dan pintu ditutup dengan plastik hitam itu salah satu maklum balas yang kita terima,” katanya.

Tambah Mohd Shuhaily, bagaimanapun pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“GISBH beroperasi di satu negara telah berhenti beroperasi, namun ktia tidak dapat maklumat berkaitan ahli mereka di negara tersebut.

“Dua pendekatan kita gunakan melalui, INTERPOL kita dah maklumkan melalui INTERPOL dan rakan-rakan serantau (pihak berkuasa),” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, tambahnya lagi, pendekatan PDRM ketika ini melibatkan tiga aspek iaitu menyelamat, menangkap dan meneutralkan ideologi sepanjang Op Global dilancarkan.

“Tiga pendekatan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh PDRM bersama pasukan sahabat bagi operasi kali ini. Ia meliputi menyelamat mangsa-mangsa yang diabaikan, dianiayai, didera atau dieksploitasi dalam mencapai hasrat organisasi.

“Menangkap dan seterusnya mendakwa pesalah yang terdiri daripada pemimpin dan ahli-ahli GISBH bagi kesalahan yang dilakukan serta membawa mereka ke muka pengadilan.

“Serta meneutralkan dengan program-program yang dapat mengintegrasikan semula mangsa-mangsa dan juga ahli-ahli GISBH kepada masyarakat supaya kefahaman ideologi dapat diperbetulkan khususnya ajaran Islam yang sebenar,” ujarnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini