comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Global: 171 tangkapan direman 7 hari

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Kesemua 171 tangkapan yang dibuat menerusi Op Global, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan eksploitasi 402 kanak-kanak dari rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Buletin TV3 memaklumkan pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi melengkapi siasatan serta tindakan susulan ke atas mangsa-mangsa yang terlibat.

“Siasatan kita perlu teruskan lagi bagi melihat apa lagi tindakan yang boleh diambil, terutamanya dari segi pendidikan, kita tahu bahawa yang berumur yang sepatutnya bersekolah ini, tapi tidak ke sekolah dan dia ada pendidikannya sendiri, kita mungkin akan berhubung dengan kementerian pendidikan juga

“Apabila dia buka rumah amal ini, kononnya untuk anak yatim, kita juga nak melihat adakah rumah amal ini didaftarkan, itu semua siasatan kitalah, daripada situ juga mungkin ada kesalahan-kesalahan lain yang kita boleh lihat lagi, akan ada saksi-saksi yang akan tampil,” katanya

Ujarnya lagi, kesemua mangsa masih dalam proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan.

“Kita rasakan perlu untuk kita ambil DNA pasal bapa-bapa mereka kita tahu adalah ahli-ahli GISB itu sendiri, dan tentang aspek kesihatan dan kebajikan, agensi-agensi sahabat sepert Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang sentiasa ada dengan kita ditempatkan di PULAPOL.

Tambahnya lagi pada masa ini, kesemua premis yang diserbu semalam, ditutup buat sementara waktu, dan berkemungkinan akan diambil tindakan sita.

Semalam 20 buah premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat tempatan menjalankan pelbagai perniagaan di Malaysia dan beberapa negara lain, digempur Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Seramai 171 individu, termasuk 105 wanita berusia antara 17 hingga 64 tahun, yang dipercayai penyelia dan penjaga premis, ditahan.

Tan Sri Razarudin dalam sidang media semalam memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792], Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ATIPSOM [Akta 670].

Selain itu, kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa turut akan dilihat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini