Tumpuan :
Jenayah

Op Aman: APMM Kuala Kedah rampas 107 set bubu naga

Oleh: Kumaran Rajamoney

KUALA KEDAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 107 set bubu kambang atau bubu naga (China prawn net trap) dalam satu operasi khas yang dilakukan di empat lokasi sepanjang perairan Yan semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi khas membanteras bubu naga ini dilaksanakan berikutan terdapat rungutan dan aduan yang diterima pihak Maritim Malaysia.

“Empat lokasi rampasan bubu naga semalam ialah di sekitar 0.4 batu nautika hingga 0.8 batu nautika merangkumi sekitar Kuala Sedaka hingga ke perairan Kuala Sala.”

“Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi,” katanya.

Kesemua bubu naga tersebut dirampas dan dianggarkan bernilai RM 12, 840.00 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

“Maritim Malaysia melihat bahawa penggunaan bubu naga ini perlu dicegah bermula dengan penjualan di darat oleh jabatan berkaitan kerana ianya dijual dengan harga yang murah sekaligus tidak akan memberi kesan ke atas rampasan-rampasan yang dibuat memandangkan penggunanya masih boleh membeli di pasaran semasa.”

“Nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.”

APMM Zon Kuala Kedah katanya, tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti haram di laut.

Loading...
Terkini