Tumpuan :
Jenayah

NGO Guna Logo Pihak Berkuasa, Dakwa Kebal Undang-Undang

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai (tengah).

KUALA LUMPUR: Menjanjikan layanan ‘istimewa’ termasuk tidak ditahan ketika sekatan jalan raya.

Itu antara taktik penipuan digunakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan layanan istimewa jika menjadi ahli pertubuhan berkenaan.

Malah, NGO itu juga dikesan menggunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Semua logo berkenaan dipaparkan di kad keahlian, emblem kenderaan, pelekat kenderaan dan baju pertubuhan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kegiatan pertubuhan dikenali sebagai Biro Komuniti Cegah Jenayah itu terbongkar apabila seorang individu membuat laporan polis pada 20 Oktober lalu.

“Polis menerima laporan dari individu terbabit yang mendakwa kerugian RM17,000 kerana ditawarkan untuk menjual meja sempena majlis makan malam yang akan dianjurkan.

“Mangsa mendakwa jika ingin menjadi ahli pertubuhan terbabit, bayaran RM2,200 sebagai yuran dikenakan dan akan mendapat pelbagai layanan istimewa termasuk tidak akan ditahan ketika sekatan jalan raya, ”katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa, polis kemudian menahan lima lelaki pada 22 hingga 25 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

“Semua mereka berusia 32 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang. Hasil penahanan individu terbabit polis merampas 19 baju T, 15 topi, 143 pelekat kenderaan, 20 emblem kenderaan, lapan kad pelbagai jenis dan acuan cetakan.

“Semakan rekod lampau mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan menyamar penjawat awam.
“Dua suspek direman 25 Oktober lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 manakala tiga lagi suspek dibebaskan bagi tujuan saksi pendakwaan, ”katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini