comscore
Tumpuan :
Jenayah

Nelayan Vietnam Gagal Bawa Keluar 1.1 Tan Ikan Milik Negara

PASIR PUTEH: Agensi Penguasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mematahkan cubaan membawa keluar 1.1 tan ikan yang dikaut nelayan asing di perairan negara ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata bot nelayan Vietnam dinaiki enam individu termasuk tekong itu pada awalnya dikesan dalam keadaan mencurigakan pada jam 6.10 petang oleh bot peronda Maritim Malaysia pada Selasa lalu.

Beliau berkata, mereka cuba melarikan diri, namun berjaya dipintas pihak Maritim Malaysia pada jam 6.35 petang dan pemeriksaan ke atas bot menemui hasil laut bersama enam nelayan tanpa pengenalan diri.

Katanya, semua tekong, awak-awak dan bot dibawa ke jeti Maritim Tok Bali dan tiba pada jam 9 pagi semalam.

“Selain ikan 1.1 tan, kita turut merampas diesel 500 liter dan peralatan menangkap ikan dengan nilai RM365,000.

“Semua nelayan berusia antara 32 hingga 52 tahun itu ditahan kira-kira 55 batu nautika dari Muara Tok Bali,” katanya di sini, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, mereka juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) iaitu denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru.

“Kita bertegas membanteras kegiatan mengaut hasil laut negara yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dengan melaksanakan Op Khas Naga Barat, Op Khas Gamat dan Op Damai yang menjadi kejayaan rampasan kali ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini