comscore
Tumpuan :
Jenayah

Nak untung punya pasal, duit lebih RM4.4 juta lesap

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lebih RM4.4 juta! Itu jumlah kerugian terpaksa ditanggung seorang pesara kerajaan selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata pengadu, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun memberitahu dia menerima mesej melalui WhatsApp daripada nombor tidak dikenali (suspek) yang mengiklankan pelaburan mata wang kripto.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai sebagai ejen pelaburan mata wang kripto berasal dari Singapura.

“Mangsa kemudian diberi penerangan dan dipujuk menyertai pelaburan mata wang kripto selain diarah membuat pendaftaran di laman sesawang diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, pengadu dijanjikan pulangan lima hingga 10 peratus daripada nilai modal, namun tidak dinyatakan tempoh pelaburan terbabit.

“Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa membuat 90 transaksi berjumlah RM4,417,092.80 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank diberikan bermula 18 Julai sehingga 6 September lalu.

“Bagaimanapun, pengadu tidak dapat mengakses laman sesawang berkenaan dan gagal menghubungi suspek semalam.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa mengesyaki ditipu kerana tidak menerima keuntungan pelaburan seperti dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan menjanjikan keuntungan tinggi.

“Sila buat semakan pada nombor akaun melalui https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.

Loading...
Terkini