comscore
Tumpuan :
Jenayah

Nahas bongkar penemuan daun ketum

Daun ketum yang ditemui di dalam sebuah kereta yang terbabit kemalangan di Jalan Bukit Putus, hari ini. – FOTO: Ihsan Polis

SEREMBAN: Satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bukit Putus pagi tadi, membongkar penemuan daun ketum apabila ditemui berselerakan di lokasi nahas .

Kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dari arah Seremban ke Kuala Pilah itu dikatakan bertembung dengan sebuah lori tangki minyak, kira-kira jam 7.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika anggota unit kereta peronda (MPV) tiba di lokasi, pemandu Proton Waja sudah dibawa ke hospital manakala pemandu lori tidak cedera.

“Hasil pemeriksaan di dalam Proton Waja kami menemui 16 kg daun ketum dalam empat beg plastik dan sebuah beg berwana merah jambu.

“Semua daun ketum dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pemandu Proton Waja berkenaan cedera parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

“Ketika ini polis belum mengenalpasti identiti sebenar lelaki berkenaan kerana dia masih dirawat. Bagaimanapun, kes ini disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman memaparkan kejadian kemalangan berkenaan, bagaimanapun kelihatan daun ketum berselerakan di atas jalan dipercayai daripada sebuah kenderaan yang terbabit dalam insiden itu.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohd Syazwan Saidy berkata,nahas turut melibatkan sebuah motosikal dan kereta jenis Honda City.

“Pemandu Honda City, seorang lelaki berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan. Manakala penunggang motosikal jenis Yamaha NMAX seorang lelaki berusia 33 tahun patah tangan kanan,” katanya.

Loading...
Terkini