GEORGE TOWN: Pempengaruh, model yang juga pelakon, Siew Pui Yi, 25, atau dikenali sebagai Ms Puiyi telah memfailkan saman ke atas bekas rakan niaganya yang didakwa menipu dirinya membabitkan anggaran kerugian mencecah RM4.3 juta.
Selebriti internet itu mendakwa, lelaki berusia 29 tahun yang juga bekas ahli lembaga pengarah syarikatnya telah memperdayanya untuk menyerahkan wang tersebut bagi menyelesaikan tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tahun lalu.
“Saya memfailkan tindakan sivil ini terhadap individu yang dikenali sebagai ‘Mentos’ kerana dia telah menipu dan memperdaya saya untuk menyerahkan lebih kurang RM4.3 juta.”
Pempengaruh, model yang juga pelakon, Siew Pui Yi, 25, atau dikenali sebagai Ms Puiyi telah memfailkan saman ke atas bekas rakan niaganya yang didakwa menipu dirinya membabitkan anggaran kerugian mencecah RM4.3 juta. pic.twitter.com/LKIA7d2ife
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) April 22, 2024
“Dia telah menipu saya dengan janji bahawa dia dapat menyelesaikan isu cukai pendapatan saya dengan LHDN dan tindakan sivil yang saya failkan adalah untuk mendapatkan semula jumlah wang yang ditipu itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ms Puiyi yang mempunyai 24 juta pengikut di Instagram turut mendakwa individu terbabit telah menyeleweng wang daripada syarikatnya PY Empire Sdn Bhd sejak Jun 2022.
Menurut Ms Puiyi, dia diperkenalkan dengan lelaki itu melalui seorang rakan pada 2019 sebelum mereka menjadi rakan kongsi perniagaan dan dia turut melantik lelaki itu sebagai ahli lembaga pengarah pengarah PY Empire Sdn Bhd.
“Dia menguruskan hal ehwal sumber manusia dan melaburkan dana syarikat (saya),” kata pelakon filem Pulau dan KL Love Story itu.
Sementara itu, peguam mewakili Ms Puiyi, K Mahendran berkata kes sivil itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan menamakan individu dikenali sebagai Mentos itu sebagai defendan.
“Anak guam saya menuntut ganti rugi khas berjumlah RM4 juta, kos dan ganti rugi lain,” katanya.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut pada 24 Oktober tahun lalu kerana transaksi pertama pindahan wang itu dibuat di Pulau Pinang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.