Tumpuan :
Jenayah

Motif tembakan rambang di Sibu sedang disiasat – Polis

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili.

Oleh: Kadir Edison

SIBU: Polis sedang menyiasat motif di sebalik kejadian tembakan rambang yang dilepaskan ke arah sebuah rumah di Jalan Lada, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.54 pagi dan dipercayai sebanyak empat das tembakan dilepaskan menggunakan senjata api.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden itu.

“Siasatan awal mendapati tembakan tersebut menyasarkan kediaman mangsa. Namun, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penghuni rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zulkipli, suspek dipercayai lebih daripada seorang dan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam.

“Polis kini giat memburu suspek yang terlibat dan berusaha memberkas mereka dalam masa terdekat,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan melepaskan tembakan dan khianat merosakkan harta.

“Kami juga sedang mengenal pasti motif sebenar kejadian tembakan yang turut mengejutkan penduduk di kawasan Jalan Lada,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Abu Bakar Roshidi di talian 012-8774241 atau melalui balai polis berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini