comscore
Tumpuan :
Jenayah

Motif dendam dipercayai punca anak pemilik restoran dibunuh

Tiga suspek diburu polis berkait dengan kes anak pemilik restoran maut dibunuh di Sandakan. – FOTO: PDRM

SANDAKAN: Dendam dipercayai menjadi motif utama seorang anak pemilik restoran maut dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna di kawasan semak ladang sawit di Jalan Sungai Memanjang, di sini, semalam.

Mayat mangsa, Naufal Abdul Rashid, 35, yang hilang sejak Ahad lalu ditemui kira-kira jam 11 pagi semalam selepas sepasukan anggota polis melakukan pemeriksaan di kawasan itu susulan laporan sebuah pikap hangus terbakar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy, berkata hasil siasatan polis sudah mengenal pasti suspek yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh itu.

Katanya, suspek dikenal pasti selepas seorang wanita tempatan berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat itu.

“Tiga lelaki juga sedang dikesan bagi membantu siasatan iaitu warga Indonesia, Mohd Jasmin Ruslan atau dikenali sebagai Ahcok berusia 24 tahun.

“Dua lagi warga tempatan iaitu Mohamad Zulfaizzie Mohd Firdaus, 24, dan lelaki yang hanya dikenali sebagai Komeng berusia 20-an.

“Wanita yang ditahan adalah bekas isteri salah seorang suspek yang masih dicari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini, petang tadi.

Ditanya mengenai hubungan mangsa dengan ketiga-tiga suspek, Ramasamy berkata, mangsa ada berkenalan dengan seorang wanita iaitu adik kepada Ahcok.

“Dua lagi suspek yang diburu adalah rakan kepada Ahcok. Beberapa saksi utama sudah dirakam percakapan dan motif utama pembunuhan disyaki dendam dan perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK). Bedah siasat dan proses pengecaman akan dijalankan esok.

“Sehingga kini, polis belum menemui sebarang senjata dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini