comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Minyak diesel bersubsidi bernilai RM55,900 dirampas

PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan sebanyak 26,000 liter bahan api itu yang dianggar bernilai RM55,900 di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri KPDN Negeri Perlis, Farah Adlina Ropaie, berkata rampasan itu dibuat menerusi ‘Ops Tiris’ bersama Polis Diraja Malaysia di sebuah premis pemborong minyak diesel di sini, kira-kira 1 tengah hari.

Farah Adlina dan penguatkuasa KPDN Perlis sedang meneliti bekalan diesel yang dirampas di sebuah stor pemborong diesel di Kawasan Perindustrian Padang Besar. – FOTO: NSTP

“Ketika pemeriksaan dijalankan, pemilik premis berkenaan yang berusia dalam 40-an didapati gagal menyelenggara atau mengemaskini buku stok barang kawalan (minyak diesel bersubsidi).

“Malah, bekalan juga disyaki diperolehi daripada pembekal yang meragukan berlainan daripada pembekal yang sudah berdaftar untuk membekalkan diesel ke premis berkenaan.

“Hasil semakan ke atas buku stok berkenaan mendapati, bekalan diesel ini dijual secara tidak sah kepada kenderaan perseorangan berpendaftaran Thailand pada hal ia sepatutnya dijual kepada kenderaan industri,” katanya kepada media di Kawasan Perindustrian Padang Besar, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati pemilik premis berkenaan sudah lapan tahun beroperasi di kawasan berkenaan.

Farah Adlina berkata, pemilik atau pemborong diesel dan petrol berlesen wajib menyelenggara atau mengemaskini urusan buku stok barang kawalan dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenalan tindakan mengikut Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Loading...
Terkini