Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman seorang pegawai penguat kuasa kerana dipercayai meminta rasuah kira-kira RM5,000 daripada seorang wanita.
Perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Isnin depan terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pagi tadi.
Suspek dipercayai telah meminta wang rasuah sebagai balasan untuk tidak meneruskan pertuduhan yang dihadapi wanita terbabit.
Susulan itu, suspek telah ditahan sekitar jam 3 petang semalam di pejabatnya di Dungun.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.