TANAH MERAH: Seorang lelaki yang baru dibebaskan penjara dua bulan lalu kembali ditahan kerana memiliki sepucuk pistol bersama enam butir peluru.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata suspek berusia 40 tahun mendakwa pistol itu dipinjam dari seorang rakannya sejak dua minggu lalu kononnya untuk perlindungan daripada binatang buas kerana dia bekerja sebagai penebang pokok.
Lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Kampung Air Murbo, di sini jam 2.55 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.
Menurut Mohd Haki, tangkapan dibuat susulan laporan diterima menyatakan suspek mengamuk dan mengugut mencederakan ahli keluarga.
“Suspek ingin meminjam motosikal anaknya namun tidak dibenarkan menyebabkan dia mengamuk dan membuat ugutan untuk mencederakan ahli keluarga.
“Laporan yang diterima memaklumkan suspek keluar dari rumah dengan membawa beg silang yang mengandungi sepucuk pistol dan pasukan kami segera mengekorinya.
“Ketika serbuan dibuat, suspek berada di ruang tamu dan pemeriksaan dalam beg silangnya juga menemui sepucuk pistol jenis Revolver S/W 357 Magnum Smith/Wesson bersama enam butir peluru,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya turut dijumpai lima biji pil kuda dipercayai milik suspek dan ujian saringan dibuat mendapati lelaki itu positif dadah jenis methampethamine.
“Hasil semakan rekod lampau juga mendapati suspek memiliki lima rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 Jun bagi siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penaliti Lebih Berat 1971; Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, serta Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Untuk Seksyen 8 Akta Senjata Api Penaliti Lebih Berat 1971, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih dari 14 tahun dan sebat tidak kurang enam sebatan,” katanya.