KLUANG: Seramai 13 lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam rusuhan di sebuah kedai makan di pusat bandar Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, rusuhan itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut.
Katanya, suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 54 tahun.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati lima suspek mempunyai kesalahan kes jenayah dan kes narkotik.
“Semalam, lebih kurang jam 9.45 malam, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Kluang membuat satu laporan polis selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan kejadian sekumpulan lelaki tempatan telah merusuh.
“Bertindak atas maklumat, jam 11.15 malam hari yang sama, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang membuat tangkapan terhadap 13 lelaki tempatan di tiga lokasi berasingan.
“Hasil saringan ujian air kencing terhadap semua tangkapan didapati negatif dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bahrin berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.