comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Mercun, bunga api bernilai RM35,631.75 dirampas

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (dua dari kiri) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, malam tadi. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kelantan merampas mercun dan bunga api seludup bernilai RM35,631.75 di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, jam 9.50 malam tadi.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata kesemua mercun dan bunga api seberat 2,159 kilogram (kg) diisi di dalam lori dipercayai untuk dibawa ke Lembah Klang bagi memenuhi permintaan pelanggan sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, ketika serbuan, beberapa individu dilihat sedang memunggah kotak berisi mercun dan bunga api daripada pacuan empat roda ke dalam lori sebelum mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil siasatan mendapati, mereka menggunakan modus operandi dengan mengambil mercun terbabit menggunakan pacuan empat roda di sekitar kawasan sempadan, di Rantau Panjang, sebelum dibawa ke Pasir Puteh untuk dipindahkan ke dalam lori.

“Mereka menggunakan kenderaan lebih kecil untuk mengangkut bekalan di sempadan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum menggunakan lori untuk ke Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata, mercun dan bunga api diklasifikasi sebagai barang larangan import yang tertakluk bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih terus dijalankan bagi mengesan pemilik lori dan pacuan empat roda yang dirampas.

Loading...
Terkini