comscore
Tumpuan :
Jenayah

Menarik dan mencium tangan penyanyi wanita – Polis

Foto hiasan

NILAI: Padah mencium tangan seorang penyanyi wanita, lelaki ditahan.

Kejadian berlaku di Dataran Nilai, Bandar Baru Nilai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek dikatakan mendekati penyanyi itu untuk berswafoto dan selepas selesai bergambar, lelaki itu dikatakan menarik tangan dan mencium tangan selebriti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan kemudiannya menjerit sebelum suspek dikatakan melarikan diri.

“Polis menerima laporan daripada seorang wanita berumur 26 tahun yang juga seorang penyanyi menyatakan kejadian berlaku ketika pengadu berada di bilik tetamu khas di belakang pentas dekat Dataran Nilai.

“Selepas selesai membuat persembahan nyanyian untuk program hiburan di satu festival yang berlangsung di Dataran Nilai, pengadu didatangi seorang lelaki yang meminta kebenaran untuk berswafoto dengannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengadu dipercayai memberi kebenaran dan selepas selesai berswafoto, lelaki itu dikatakan menarik serta menggengam tangan seterusnya mencium tangan.

“Terkejut dengan tindakan lelaki itu, pengadu terus menjerit sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian.”Suspek berjaya ditangkap pihak penganjur dan diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di festival berkenaan,” katanya.

Abdul Malik berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

“Suspek seorang lelaki warga tempatan yang tidak mempunyai rekod jenayah dan permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Seremban dan permohonan reman diluluskan selama tiga hari mulai hari ini,” katanya.

Loading...
Terkini