comscore
Tumpuan :
Jenayah

MBMB gempur 8 pusat hiburan, 6 notis kesalahan dikeluarkan

Foto: Ihsan MBMB

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menggempur lapan premis pusat hiburan di sekitar kawasan pentadbirannya dalam Operasi Hiburan Bersepadu di sini, malam tadi.

Dalam operasi selama empat jam yang berakhir 3.30 pagi itu, enam Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Jabatan Perundangan dan Penguatkuasaan MBMB, Norhayati Ismail berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuklah di bawah Enakmen Hiburan Langgar Syarat Lesen (2 kesalahan), Iklan Tanpa Lesen (3), satu kesalahan Panggung dan Tempat Hiburan Tanpa lesen (1).

Foto: Ihsan MBMB

Kata beliau, pihaknya turut menyita pelbagai peralatan muzik milik dua premis hiburan yang beroperasi tanpa lesen.

“Sebanyak enam NPK dikeluarkan membabitkan dua kesalahan NPK Enakmen Hiburan-Langgar Syarat Lesen, tiga kesalahan NPK kesalahan iklan tanpa lesen, satu kesalahan NPK Panggung dan Tempat Hiburan Tanpa lesen.

“Kita turut menyita set sistem audio dan muzik ke atas dua premis yang tidak mempunyai lesen pusat hiburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto: Ihsan MBMB

Menurut Norhayati, operasi bersepadu bermula jam 11.30 malam itu memberi tumpuan kepada pusat hiburan dan kelab malam yang beroperasi di sekitar Melaka Tengah.

Jelas beliau, ia bertujuan memastikan semua pemilik premis terbabit sentiasa mematuhi peraturan.

Selain MBMB, sebanyak tiga pihak berkuasa terlibat dalam Ops Pusat Hiburan itu iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan seramai 46 pegawai dan anggota.

Loading...
Terkini