IPOH : Mayat pekerja warga Nepal ditemukan atas bumbung sebuah stor penyimpanan peralatan proses ayam dan daging di Kawasan Perindustrian Kinta Jaya di sini, malam tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Kaunter Aduan Balai Polis Kampung Rapat menerima panggilan mengenai penemuan mayat lelaki warga Nepal berusia 30-an itu kira-kira 8 malam.
“Siasatan awal di tempat kejadian bersama pasukan forensik menemukan tompokan darah di bilik mangsa hingga ke ruang tamu, seterusnya bilik rakan serumahnya.
“Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring atas bumbung luar bilik rakan serumahnya,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.
Mohd Yusri berkata, tidak didapati apa-apa kesan pergelutan dalam rumah berkenaan.
“Siasatan masih dijalankan dan tiada tangkapan dibuat ketika ini. Siasatan awal ke atas mayat mendapati ada kesan kelar di pergelangan tangan kiri dipercayai bunuh diri.
“Sebilah pisau turut dijumpai dalam jarak 3.4 meter dari si mati,” katanya.
Katanya, tempat kejadian adalah gudang atau stor menyimpan peralatan proses ayam serta ayam daging untuk dijual.
“Tingkat satu premis itu dijadikan sebagai asrama tiga bilik tempat tinggal dua pekerja warga asing.
“Kes ketika ini diklasifikasikan sebagai mati secara mengejut (SDR) dan bedah siasat dijadualkan 9.30 pagi ini untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya. – HARIAN METRO