Tumpuan :
Jenayah

Mayat pemandu lori ditemui dalam but kereta

Kereta yang yang ditemui dalam semak di tepi jalan di Kilometer 26 Jalan Jemaluang-Kahang. – Foto tular

MERSING: Polis menemui mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh petang semalam, di dalam but keretanya di Kilometer 26, Jalan Jemaluang-Kahang, di sini.

Siasatan awal polis mendapati punca kejadian adalah akibat dendam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 28 tahun dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dengan kesan kecederaan di bahagian leher.

Beliau berkata, motif pembunuhan dipercayai kerana mangsa yang juga pemandu lori didakwa mempunyai hubungan dengan bekas isteri suspek.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing mengesahkan kejadian penemuan mayat seorang lelaki warga tempatan dalam but kereta Proton Waja di dalam semak tepi jalan di lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat risikan yang diperolehi, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian ini pada jam 4.30 pagi.

“Kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 33 hingga 35 tahun telah dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

“Susulan kejayaan tangkapan ini, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya ketika dihubungi BH.

Katanya, suspek cuba menutup helah dengan membuatkan Proton Waja berkenaan seolah-olah terbabas ke dalam semak di lokasi kejadian.

“Mayat kini berada di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini