Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Mayat bayi perempuan masih bertali pusat ditemui dalam tong sampah

 

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Mayat bayi perempuan cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui dalam tong sampah di sebuah flat di Farlim, di sini, siang tadi.

Mayat bayi itu ditemui sekumpulan pekerja lori sampah ketika melakukan tugas pembersihan di flat berkenaan.

Menurut pemandu lori sampah yang ditemui, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi ketika membersihkan sampah di blok 4E.

Izan Fairuz Muhammat, 40, berkata dia dan rakan-rakan sekerjanya dikejutkan dengan penemuan mayat bayi itu ketika sedang mengangkat tong sampah ketiga di blok berkenaan.

“Mayat bayi cukup sifat itu berada dalam keadaan bogel ketika kami temui.

“Kami rasa ia berada di bahagian bawah tong sebab bila kita tuang sampah ke dalam lori selalunya sampah bahagian bawah akan berada di atas.

“Memang terkejut bila lihat mayat bayi dalam keadaan kembung selain dipenuhi lalat serta sampah sarap.

“Saya juga tak sangka sebab kami kutip sampah di sini setiap hari termasuk semalam pada jam 11 pagi,” katanya lagi.

Susulan penemuan itu, dia segera memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tinjauan di lokasi mendapati, forensik polis tiba di tempat kejadian untuk pemeriksaan dan mayat bayi dikeluarkan pada jam 12.30 tengahari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi perempuan terbabit.

Katanya, mayat bayi berkenaan dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

Siasatan berhubung kejadian termasuk mengenalpasti suspek masih dijalankan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini