TAWAU: Mayat bayi lelaki masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan di dalam tangki pam tandas di sebuah hospital, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mayat bayi berkenaan dijumpai oleh pekerja pembersihan yang sedang membuat kerja-kerja pembersihan di dalam tandas awam wanita di wad kecemasan hospital itu pada 7.10 pagi.
“Saya mengesahkan pihak polis menerima satu laporan pada 8.09 pagi hari yang sama berhubung penemuan bayi lelaki meninggal dunia di dalam pam tandas hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, pihak polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung kes ini,” katanya.