PETALING JAYA: Lapan lagi mangsa baharu tampil mendakwa menjadi mangsa penipuan lelaki bergelar Datuk yang menjalankan sindiket pelaburan palsu selepas dilaporkan media baru-baru ini.
Kesemua mereka akan mengumpul dokumen berkaitan sebelum tindakan seterusnya diambil termasuk membuat laporan polis.
Tujuh November lalu, satu sidang media diadakan membabitkan beberapa mangsa lelaki berkenaan yang didakwa melanggar Akta Syarikat 1965 apabila menubuhkan syarikat dengan objektif perniagaan palsu, membuat pengisytiharan tahunan palsu dan membuat laporan audit palsu.
Difahamkan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM1 bilion.
Usahawan kosmetik, Shah Abdul Malek, 51, sebelum ini mendakwa lelaki berkenaan menutup syarikat selepas penipuan dilakukan supaya salah laku tidak dapat dikesan.
“Kami percaya lelaki itu melakukan penipuan dalam kenyataannya dengan memberi maklumat palsu kepada polis semasa siasatan dilakukan.
“Apa yang kami hairan sehingga kini lelaki terbabit tidak pernah ditahan meskipun ada membuat pengakuan bersumpah bahawa dia ada membayar rasuah kepada seorang pegawai atasan bank di mahkamah, baru-baru ini,” katanya.
Ahli perniagaan dari United Kingdom, Lee Roger Meiklejohn, 50, yang juga menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit mendakwa Datuk itu juga membuat pengisytiharan keuntungan palsu serta tidak mengisytiharkan wang miliknya.
Dia juga didakwa menjalankan operasi seperti skim cepat kaya sebagai ketua pegawai eksekutif di sebuah koperasi dengan menipu jutaan ringgit.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki bergelar Datuk didakwa menipu ratusan pelabur sehingga meraih RM1 bilion hasil kegiatan penipuan pelaburan yang dilakukannya sejak beberapa tahun lalu.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit diminta menghubungi talian 014-2214433 untuk proses pengumpulan dokumen dan lain-lain tindakan berkaitan.