PETALING JAYA: Guna beg khas bagi menghalang bunyi penggera di kedai pakaian sebelum mencuri.
Itu helah sindiket curi pakaian berjenama yang didalangi warga asing mensasarkan butik berjenama atau kedai pakaian di negara ini.
Sindiket dianggotai 11 warga asing itu akan masuk ke negara ini sebagai pelancong dan melakukan kegiatan jenayah sebelum menjual semua barang yang dicuri di negara asal.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sindiket curi itu menggunakan beg khas yang dibawa dari negara asal mereka untuk menghalang bunyi penggera di kedai pakaian daripada berbunyi.
“Barangan yang dicuri akan dihantar ke negara asal menggunakan perkhidmatan kurier untuk dijual.
“Sindiket ini bergerak secara berkumpulan untuk mencuri pada waktu kedai beroperasi serta akan berpindah dari satu hotel ke hotel lain untuk menutup kegiatan mereka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan mendapati sindiket ini berjaya menghantar 210 kilogram bungkusan mengandungi baju ke negara asal mereka pada tahun ini menggunakan perkhidmatan kurier.
“Susulan itu, polis menahan 11 warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan lapan wanita berusia 26 hingga 47 tahun dalam serbuan pada 3 dan 4 Oktober lalu.
“Siasatan awal mendapati semua mereka sudah tiga kali masuk ke negara ini sebagai pelancong,” katanya.
Menurutnya, polis turut menahan lelaki tempatan berusia 51 tahun yang yang berperanan sebagai pemandu dan akan membawa ahli sindiket ini ke lokasi aktiviti jenayah dilakukan.
“Siasatan mendapati sindiket ini aktif mencuri pakaian di 17 pasar raya sekitar Lembah Klang sejak Mac tahun ini dan berjaya menyelesaikan tujuh kes curi di Petaling Jaya hasil tangkapan ahli sindiket terbabit.
“Semua individu ditahan reman sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan,” katanya. – HARIAN METRO