MERSING: Maritim Malaysia melalui Zon Maritim Mersing telah berjaya menahan tiga buah bot nelayan asing Vietnam bersama 37 kru termasuk tiga tekong warga asing sekitar jam 7.30 malam di lokasi lebih kurang 15.1 batu nautika timur laut Pulau Aur.
Mereka disyaki menceroboh dan merompak hasil laut di perairan Malaysia.
Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, tangkapan bot nelayan asing berkenaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin OP JAKSA dan OP TIRIS di sekitar perairan Mersing.
Mereka ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti menangkap hasil laut dan hasil pemeriksaan lanjut, ketiga-tiga bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen bertulis untuk melakukan aktiviti perikanan di perairan perikananan Malaysia.
Pemeriksaan juga mendapati, kru termasuk tekong ketiga-tiga bot dan warga Vietnam berumur antara 20 hingga 55 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Ketiga-tiga buah bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan lebih kurang 13,000 kilogram serta bekalan diesel lebih kurang 4,000 liter dirampas.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.5 juta.
37 kru ditahan, seterusnya diiringi masuk ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.