Tumpuan :
Jenayah

MAQIS rampas 2,500 kg kobis Cina dari Singapura

Foto: Ihsan MAQIS.

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas konsainan membawa kobis Cina dari Singapura, Selasa lalu kerana disyaki mengemukakan maklumat mengelirukan dalam pengimportan.

Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof, berkata muatan itu ditahan dalam pemeriksaan rutin di lakukan pegawai MAQIS di laluan kargo import MAQIS Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Katanya, kobis Cina itu dianggarkan seberat 2,500 kilogram dengan anggaran nilai RM6,600.

“Hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai MAQIS mendapati pengimport memberikan maklumat tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan, yang mana label pada kotak tidak sama dengan dokumen diberikan ketika pengisytiharan kepada MAQIS.

“Pemandu lori lelaki warga tempatan berusia 40 tahun dilepaskan setelah kenyataan diambil.

“Pihak MAQIS sentiasa menekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengutamakan keperluan dan suara rakyat adalah amat penting dalam menyahut cabaran keterjaminan makanan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta MAQIS 2011, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini